Tuesday, February 24, 2009

Kerana sayang

Kita masih bernafas saat dan ketika ini. Alhamdulillah... Berkat nikmat udara yang diberikan secara percuma oleh Allah, maka kita saat dan ketika ini masih boleh mengecap nikmat hidup yang juga diberikan secara percuma oleh Allah kepada kita.
Dan, oleh kerana kita masih hidup, bermakna, pintu taubat masih terbuka luas untuk kita yang terasa ingin bertaubat atas segala dosa yang kita lakukan. Kalau.... terasa ingin bertaubat. Kalau tidak pun, tidak apa.... Allah itu Maha Perkasa, maka Allah tidak memerlukan Taubat kita untuk terus Berkuasa. Tapi kita harus ingat, jika bukan kerana udara yang dibekalkan oleh Allah tanpa bayaran itu, kita tidak ada di muka bumi ini. Jadi, atas alasan itu, sebagai insan, tidakkah kita perlu bersyukur? atau sekurang-kurangnya tidakkah kita rasa perlu memohon ampun kepadaNya kerana terlupa bersyukur?

Jika kita sendiri, kalau pemberian kita kepada seseorang tidak dihargai, kita juga berasa terkilan bukan? Tapi, berapa kerap sangat la kita memberi sesuatu kepada orang lain? dan biasanya, apabila sekali pemberian kita tidak dihargai, kita akan berkata "sorry aku bagi kau hadiah lain kali!". Dalam hati tentunya... hehe..
Sekarang, cuba kira berapa banyak pemberian Allah kepada kita? pemberian-pemberian itu pula bukanlah calang-calang pemberian! nikmat hidup, nikmat udara, nikmat sihat (bg yg sihat) nikmat sakit (bersyukurlah kerana Allah sayangkan kamu yang sedang sakit itu), nikmat keindahan alam ini, nikmat makanan, nikmat bahagia dan macam-macam lagi. Kalau dikira, seribu tahun takkan mungkin. Hehe..

Kemudian, sekarang cuba kira (jangan lupa memasukkan diri kita dalam senarai) berapa ramaikah antara kita yang tidak bersyukur dengan pemberian Allah itu?. Bayangkan kalau Allah itu berfikir seperti kita ketika pemberian kita tidak dihargai dan berkata "ah! sorry Aku bagi kau hadiah lain kali!". Bagaimana rasanya? Tetapi Allah itu tidak bersifat lemah seperti manusia. Allah itu Sempurna sifatnya. Atas sifat Maha PemurahNya, maka DIA terus memberi dan memberi nikmat kepada kita. Atas sifat maha PengampunNya, maka DIA membuka pintu-pintu taubat seluas-luasnya. Atas sifat Maha PenyayangNya, maka DIA sering memberi ujian kepada kita. Ujian yang menandakan bahawa DIA tidak pernah berhenti daripada mengingati dan menyayangi kita, dan mahu dengan ujian itu, kita kembali mengingati dan menyayangiNya. (sebak rasanya ketika menaip ayat ini...)

kemudian, kita diuji dengan macam-macam ujian, dan kita tahu, ujian itu perlu untuk meningkatkan darjat iman. Tapi, kadang2, kita sering terlupa betapa, apabila kita diuji, apabila kita sedih, Allah merupakan Pendegar yang Paling Baik, Allah merupakan Pendengar yang Paling Setia, Allah merupakan Pemberi Jalan Penyelesaian yang Paling Bijak. Kerana terlupa, maka kemudian, kita akan cuba mencari kawan atau kekasih untuk menenangkan hati kita. Mengadu betapa malangnya nasib kita, meminta penyelesaian atas masalah kita.

Sedangkan, Allah telah menyediakan ujian itu untuk kita agar kita ingat kepadaNYA, meminta pandanganNYA untuk menyelesaikan masalah kita, menangis di hadapanNYA untuk mengadu nasib kita. Bukan kerana apa, tetapi kerana sayang. DIA masih ingin kita mengingatiNYA kerana ALLAH tidak pernah terlupa untuk mengingati kita.

Jadi, apabila kita mengingati kawan atau kekasih ketika kita diuji, jadi apakah makna ujian itu?

Tetapi, oleh sebab kita ni insan, maka kita juga ingin menjadikan insan lain sebagai pembantu pertama kita untuk menyelesaikan masalah. Memang, tidak salah. Namun, marilah kita sama-sama meletakkanlah Allah sebagai pembantu pertama, menjadikan Allah sebagai Pendengar masalah pertama kita. Tidak rugi menangis di hadapan Allah. kan? Oleh sebab ujian Allah telah berjaya membuatkan kita mengingatiNYA, Kemudian, pasti Allah akan mempermudahkan kita untuk menyelesaikan masalah. Mungkin DIA akan menghantar kawan kita sebagai penyelesai masalah kita.

Tetapi, apabila kita menjadikan kawan atau sesiapa saja untuk menjadi penolong pertama kita, maka kita akan dapati masalah kita bukannya selesai, dan tak akan selesai, tetapi akan menjadi semakin sukar. Kadang-kadang, kita akan mendapati kawan kita itu seperti tidak mengerti masalah kita. Semasa kita sedang menghadapi masalah, dia jarang berada di sisi kita untuk menyelesaikan masalah kita. Atau, dia akan buat-buat tidak faham apa masalah kita. Malah akan menyalahkan kita atas masalah yang berlaku. Maka, masalah kita akan menjadi lebih besar, kerana, bukan sahaja kita sedang sakit hati dan jiwa dengan masalah yang sedia ada yang kita hadapi, tetapi timbul pula masalah lain iaitu rasa tidak puas hati terhadap ketidak prihatinan kawan kita itu. Timbul lagi masalah lain iaitu, kita akan berasa betapa kejamnya kawan kita itu. Jiwa yang sedih bertambah rawan.

Padahal, semuanya disebabkan oleh kesilapan kita sendiri yang tidak memahami makna ujian yang diberikan Allah kepada kita. Percayalah, apabila kita meletakkan Allah sebagai Yang Teratas atas segala tindak tanduk kita, sebagai penasihat kita Yang Teratas, maka setiap langkah selepas itu pasti akan menjadi mudah. Kerana kita bergerak di atas redha Allah. Tetapi, jika sebaliknya, bersedialah berhadapan dengan kesusahan demi kesusahan yang tidak berpenghujung. Allahualam...

"Sesungguhnya sesudah kesusahan akan datang kemudahan" - jika dan hanya jika kesusahan itu dapat membuatkan kita mengingati Allah.

ada juga kesusahan diikuti lagi dengan kesusahan, diikuti lagi dengan kesusahan, lagi dan lagi. Sebabnya, kita masih tidak faham tujuan ujian itu diberikan kepada kita. Allahualam...

"Ya Allah... pimpinlah jalanku menuju redhaMu selamanya..."

Monday, February 23, 2009

Sebenarnya...

Apa yang aku cari?
Apa yang aku mahu?
Apa yang sedang berlaku?
Apa yang telah berlaku?
Apa yang akan berlaku?
Apa yang perlu aku buat?
Apa yang sepatutnya perlu aku buat?
kenapa aku mencari?
perlukah aku mencari?
atau, perlukah aku berhenti mencari?
tapi, apa yang aku cari?

Ya Allah,
Ya Rahman,
Ya Rahim,
Ya Alim,
sesungguhnya aku tidak mampu merungkai persoalan-persoalan ini Ya Allah...
Aku tahu hikayat hidupku telah tertulis di Lauh MahfuzMu Ya Allah,
namun, berilah aku hidayah...
teka-teki ini menyesakkan dadaku,
membejatkan akalku dan menghilangkan warasku Ya Allah...
aku sesungguhnya tidak mampu bergerak walau sejengkalpun tanpaMU.
Bimbinglah jalanku menuju redhaMU.
Ameen...

Tuesday, February 17, 2009

TanpaMu

Resah dan gelisah ku rasa
Hidup penuh pancaroba
Roda masa pantas berputar
Menduga iman di dada
Daku yang lena dan terleka
Tenggelam di lautan dunia

Kabur pandangan mataku
Pada nikmat yang menggunung
Mendustakan kurniaanMu
Tiba murkaMu menghukum
Keangkuhanku kian hancur
Lantasku jatuh dan tersungkur

TanpaMu kasih (oh kekasih)
Ku tak berdaya (ku terpedaya)
Hilang punca dan arah (pada helah dan dusta)
Hanyut alpa di arus bergelora

Kasih (oh kekasih)
Daku derita (tangisku hiba)
Lemah dalam sengsara (dan mengalir oh air mata)
Jiwa dan tubuh kepedihan
Terseksa, terhukum
Menanggung kifarah dariMu

Telah ku lalui semalam
Jalanan kelam dan suram
Lampaui batasan insan
KeagunganMu kulupakan
Rahmat dariMu kudambakan
KeampunanMu kupohonkan

Tuhan, aku tak berdaya
Tempuh segalanya
Tanpa kasihMu

Hatiku ini merindu
Sinar cintaMu Yang Agung
Pasrah merayu redhaMu
Ampuni dosa-dosaku
Rahmat dariMu ku dambakan
KeampunanMu ku pohonkan

Monday, February 16, 2009

Bisikan hati

Sejenak,
Ketika waras menjengah minda,
Serta-merta noda dan dosa terlakar,
Mempamerkan kehodohan satu demi satu,
Menutup rapat pintu hidayah,
Mengopek rakus lapisan-lapisan iman,
Jatuh! keping demi keping,
Meninggalkan bekas-bekas lompang.
Cacat, hodoh dan hina.

Di satu sudut,
Kelihatan raja Iblis mengekek keriangan,
dan sang nafsu pula tersenyum mempamerkan kebodohan,
apabila melihat karenah
Sang hati yang masih khayal dengan propaganda cinta semu dan
Sang akal yang telah bodoh dengan manifesto syurga dunia
sementara Sang Iman terus dihambat oleh konco-konco Iblis
Dibelasah sehingga layu

Aku terduduk lesu,
Sang memori terus mencari punca kekalutan,
yang menyebabkan kajatuhan saham Iman
nazak sehingga hampir menemui kematian
Layar memori segera terhenti pada sekeping hati,
sekeping hati yang sedang khayal merentas lautan cinta semu,
sekeping hati yang telah dibutakan oleh pesona cinta hamba
juga pada sang akal yang kelihatan bodoh mengikut kata syaitan durjana
Terasa pipiku basah
Mengalirkan titik-titik airmata yang bersedih dengan kekhayalan hati
dan menyesali kebodohan akal

Serta-merta lautan cinta semu membusuk,
mengeluarkan nanah dan darah yang jijik.
Aku segera berenang ke tepian,
Terasa nafasku mengah kerana berenang terlalu jauh
Namun,
Sebelum sempat aku lemas merentas lautan,
Rahmat Allah datang menyelamatkanku
Mempamerkan cintaNya yang tidak pernah pudar
membawa aku ke tepian...
Membantu aku bangun dan lari dari kejahilan...

Di tengah lautan nanah itu,
aku melihat masih ramai yang sedang enak bermain di dalamnya
diulit oleh konco-konco Iblis dan pujuk rayu nafsu
aku kemudian bersyukur kerana Rahmat Allah masih luas untukku
Hidayah Allah masih ada untukku
Hadir mengutip iman keping demi keping
menutup lompang-lompang iman...
Merawat hati dan menyekolahkan akal

Ya Allah...
teguhkanlah imanku...
janganlah Kau biarkan ianya lesu dek hambatan syaitan yang tidak pernah jemu
dan pujuk rayu nafsu yang tidak pernah lesu ya Allah...
Amin..


Wednesday, February 11, 2009

++Love before marriage++

Semalam aku telah menonton kembali video forum yang bertajuk "Petua Mencari Jodoh" yang dipengerusikan oleh En. Aziz Desa dan ahli panelnya ialah Datuk Dr. Fadzillah Kamsah dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Bagi aku, forum tersebut merupakan forum yang sangat menarik. Di samping disajikan dengan perbincangan topik yang menarik, ahli panel juga menyerikan lagi suasana dengan jenaka spontan mereka. Siapa yang tidak mengenali Dr. Fadzillah Kamsah dan juga Dr. Mashitah Ibrahim yang kedua-duanya sering dilihat di kaca TV untuk memberikan ceramah motivasi?. Atas alasan itu, jika ada juga dalam kalangan pembaca yang tidak mengenali kedua-dua hamba Allah ini, maka aku nasihatkan agar kamu menukar taraf kewarganegaraan menjadi warganegara Timor Leste. he..he..

Terdetiknya hati aku untuk menonton kembali video ini kerana ingin mencari jawapan tentang hukum (adakah istilah ini sesuai?) atau lebih elok jika aku menggunakan istilah posisi "bercinta sebelum kahwin" dari perspektif Islam. Setelah mendengar forum yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 11 minit itu, akhirnya aku berkesimpulan bahawa kedua-dua ahli panel tersebut membenarkan fenomena bercinta sebelum kahwin. Aku berkesimpulan begini apabila terdapat seorang penonton bertanya lebih kurang begini:

"adakah bercinta selepas kahwin lebih baik daripada bercinta sebelum kahwin?"

Dan Dr. Fadzillah Kamsah menjawab lebih kurang begini:

"...it's doesn't matter la sebenarnya... Sebenarnya ini merupakan satu perkara yang relatif, sebab masing-masing punya nasib. Ada orang yang kahwin dahulu baru bercinta. Adakah bercinta selepas kahwin better than before? It is not necessary so... banyak juga kes yang saya terima, banyak orang bergaduh sebab tidak ada keserasian. Banyak kes. Dan banyak kes sebegini kebanyakannya sebab berkahwin dahulu baru bercinta. Jadi bagi saya, ia terpulanglah kepada nasib masing-masing..."

Potongan ayat di atas sudah terang menunjukkan bahawa Dr. Fadzillah Kamsah menyetujui dan merestui fenomena bercinta sebelum kahwin. Tapi, betulkah ianya dibenarkan dalam Islam?. Setakat ini, aku tidak menjumpai sepotong hadis dan ayat dari al-Quran yang mengatakan tentang bercinta sebelum kahwin. Mungkin juga ada, tetapi atas kelemahan aku maka aku tidak memahaminya. Atau.... juga disebabkan "ketidakhabisan" aku menelaah hadis-hadis nabi dan firman-firman Allah. Adoi.

Tapi, setakat yang aku tahu, jika sesuatu perkara itu bersifat memudharatkan diri kita dan juga orang lain di sekeliling kita, maka secara automatik perkara tersebut menjadi haram. Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang Ummi, mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma'ruf (kebaikan) dan melarang mereka mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka..."~ Surah Al A'raaf : 157)

Jadi, di sini jelas menunjukkan bahawa Allah mengharamkan sesuatu yang buruk. Adakah bercinta sebelum kahwin itu buruk? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu rasional. Aku tidak mengatakan bahawa bercinta sebelum kahwin itu sesuatu yang buruk, tidak baik dan sebagainya. Sebab, ia sebenarnya bergantung pula kepada cara kita menguruskan cinta itu. Ada orang yang bercinta, mereka masih mengekalkan adab-adab pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti yang telah disyariatkan dalam Islam, tidak berjumpa berdua-duaan,jarang bermesej dan amat jarang pula bergayut di telefon. Tidak dinafikan, memang ada kes-kes bercinta seperti ini. Tapi bilangannya sangat kecil.

Hakikatnya, majoriti dalam kalangan kita yang bercinta hari ini yang telah melupai adab-adab bergaul antara lelaki dan wanita. Ber"dating" berdua-duaan, "girlfriend" membonceng motor "boyfriend", berpegang-pegangan tangan dan sebagainya. Bergayut sampai ke lewat malam itu sudah menjadi rutin. Jadi, dimanakah kebaikannya bercinta sebelum kahwin itu?

Sedih apabila aku melihat kawan dalam kalangan kawan-kawan rapat. Kawan-kawan yang dahulunya ialah pelajar beraliran arab, mengambil subjek Syariah, menghafal Quran dan Sunnah. Kawan-kawan yang dahulunya pastilah sama-sama mempertahankan nilai-nilai Islam. Bersama-sama berjuang memupuk nilai-nilai Islam itu dengan memperlihatkan cara berpakaian yang sopan dan menutup aurat. Tentulah mereka ini lebih memahami hukum-hukum agama.

Namun setakat yang aku kenali, ramai yang telah menggugurkan satu demi satu kebaikan yang ada pada mereka setelah terjebak dalam dunia bercinta. Ada seorang kawan aku, yang aku kenali sebagai wanita yang menutup aurat dengan sempurna pada mulanya. Kemudian, tidak lama selepas aku mengenalinya, tiba-tiba aku mendengar kisah percintaannya. Memang, pada mulanya semuanya masih kekal. Stokin kakinya masih elok terletak, tudungnya masih elok labuh menutup dadanya, bajunya masih elok besar dan tidak memperlihatkan bentuk-bentuk lekuk. Kemudian, tidak lama selepas itu, aku mula mengesan perubahannya. Stokin kakinya sudah tertanggal. Tapi, tudung dan bajunya masih elok terletak. Alhamdulillah... Kemudian, selepas beberapa ketika, aku mengesan lagi perubannya. Bajunya sudah mula mengecil. Aku tidak pasti, adakah dia yang semakin berisi atau bajunya tiba-tiba mengecut. Tapi, yang pastinya, tudungnya masih elok terletak. Labuh menutup auratnya. Kemudian, terbaru aku melihatnya, fesyen tudungnya juga berubah. Fesyen bertudung yang tidak menutup keseluruhan aurat dadanya. Fesyen bertudung masa kini.

Jadi, aku berkesimpulan bahawa setelah bercinta, satu demi satu kebaikan kita akan gugur menyembah kejahilan. Satu demi satu. Dan apabila satu demi satu kebaikan gugur, mahu tidak mahu, "sesuatu" perlu menggantikan tempatnya. Jika dahulu semasa kita berstokin kaki untuk menutup aurat kaki, kita akan berasa malas untuk keluar rumah kerana perlu pula berstokin. Apatah lagi jika hari hujan. Namun, apabila sudah tidak berstokin, maka dengan keadaan apa sekalipun, kita akan keluar rumah. Pendek kata, halangan untuk kita keluar rumah untuk berjumpa kawan itu menjadi semakin kurang. Apatah lagi dengan berkembangnya penggunaan telefon bimbit!. Dengan hanya menghantar mesej yang tidak sampaipun 1 minit, temujanji boleh berlaku. kemudian, diikuti pula dengan pertemuan demi pertemuan untuk mengenal hati budi masing-masing al-kisahnya...

Umum diketahui, Iblis telah berjanji akan menyesatkan anak-anak Adam as hingga ke hari kiamat. Jadi, apabila sudah sering berjumpa, dengan "girlfriend" yang memakai baju yang ketat, maka disitulah anak-anak iblis, seperti hasut, bergabung dengan nafsu untuk menumpaskan anak cucu Adam dan Hawa. Dengan berbekalkan iman yang lazim diumpamakan nipisnya sama dengan nipis kulit bawang, maka dengan mudahnya kita terhasut dan akhirnya tersesat dan kemudian terseksa.

Arakian, bersandarkan hakikat ini, maka kita harus sedar diri. Dengan berbekalkan iman yang begitu nipis, mampukah kita menumpaskan bala tentera Iblis yang berkoyan-koyan ramainya itu? Kita tahu bahawa Allah telah menangguhkan kematian bangsa Iblis ini. Jadi, bayangkan betapa ramainya tentera Iblis di alam ghaib sana sedang berusaha memesongkan jalan kita jauh dari jalan Allah. Bukanlah bermaksud kita harus takut kepada mereka, kerana mereka juga hamba Allah. Namun, dengan berbekalkan iman yang begitu nipis, maka sanggupkan kita mempertaruhkannya? Mampukah iman kita itu bertahan dengan godaan syaitan yang pelbagai cara dan datang dari pelbagai arah?

Kita bukanlah hidup di zaman Rasulullah dan para sahabatnya. Yang mana iman mereka seteguh karang di lautan. Kita hidup di zaman ICT, zaman serba moden, zaman serba mudah. Maka, manifestasi daripada kesenangan itu telah melahirkan umat Islam yang lemah. Jika dahulu umat Islam berhadapan dengan dugaan iman secara terang-terangan. Diseksa, dibunuh siapa-siapa yang beragama Islam. Siapa yang tidak mengenali Sumaiyah, wanita yang disula kerana memeluk agama Islam. Bilal bin Rabbah yang dijemur di bawah terik matahari dengan diletakkan batu di atas badannya. Seksa. Namun kita sekarang sedang diserang dan diuji dengan ideologi. Ujian tidak datang secara terang-terangan, namun secara tersembunyi. Syaitan secara senyap menusuk jarum kepada nafsu dan kemudian nafsu secara senyap cuba merosakkan hati. Dan cara yang paling mudah ialah dengan mempengaruhi cucu-cicit Adam ini jatuh cinta. Begitu mudah.

Ungkapan "dari mata jatuh ke hati" sememangnya betul. Sebab itulah Allah mensyariatkan kita untuk menjaga pandangan. ~ iklan.

Sebenarnya, cinta itu tidak salah. Seorang insan yang waras tidak akan menafikan kepentingan cinta. Cinta itu anugerah. Tanpa cinta, maka semua insan akan bermusuhan. Begitu juga dengan "bercinta". Siapa kata bercinta itu salah. Tidak!! Yang bersalahnya ialah kita kerana telah tersalah mengambil pendekatan bercinta.

Monday, February 09, 2009

Mengapa?

Mengapa diukur hala diri sedangkan naluri sudah mengerti,
Mengapa dihimpit akal yang sempit sedangkan haluan teratur sudah disaji,
Mengapa disusun langkah yang teratur sedangkan hidup hanya mengejar ilusi,
Mengapa ditegur orang berlari sedangkan kita hanya bertatih,
Mengapa dibiar jiwa yang resah sedangkan boleh sujud kepada Yang Kuasa,
Mengapa dikejar dunia sementara sedangkan akhirat menanti penuh setia,
Mengapa dimusnahkan kejujuran sedangkan percaya sudah diraih,
Mengapa diminta pada yang lemah sedangkan boleh meminta kepada yang Kuasa,
Mengapa direla air mata menangis kerana hamba sedangkan tahu lebih mulia jika dihadiahkan kepadaNya,
Mengapa dikesal aturan hidup penuh berliku sedang sedar ianya perlu,
Mengapa dibiar diri memilih sedangkan pilihan sudah diberi sejak azali,
Mengapa disia-siakan keajaiban alam sedangkan boleh membimbing kita kearah-Nya,
Mengapa dimusnah janji setia sedangkan di alam rohani kita menganguk penuh rela,
Mengapa diabai Quran dan Sunnah sedangkan di dalamnya terdapat rahsia terbesar dunia,
Mengapa ditaksub amalan Yahudi sedangkan kita dibekalkan Hikmah oleh Ilahi,
Mengapa diulang kesilapan lama sedangkan hidup boleh dipandu sejarah,
Mengapa dibuang perasaan malu sedangkan ia dicipta untuk menjaga maruahmu,
Mengapa dicari cinta manusia sedangkan cinta Allah itu lebih Sempurna,
Mengapa diimani perkara yang dusta sedangkan kebenaran terbukti di depan mata.

Mengapa?
Mengapa??
dan mengapa???

Ferdinand de Saussure

Hari ini aku akan mempersembahkan sebuah penulisan yang berbau kesejarahan. Hehe... Walaupun aku telah mengakui dengan sejujurnya bahawa aku tidak begitu menggemari subjek sejarah, namun hakikatnya, kita semua hari ini hidup dengan meninggalkan sejarah. Suka atau tidak, sesuatu yang telah kita tinggalkan itu bernama sejarah. Kemudian, sejarah itu pula akan sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan yang bakal kita akan buat hari ini dan kemudian, keputusan kita hari ini akan menjadi sejarah pada keesokan harinya. Begitulah kehidupan.

Sejarah pertama yang suka aku kongsi pada hari ini ialah tentang Ferdinand De Saussure. Fedinand de saussure merupakan bapa linguistik moden. Pemikiran beliau tentang linguistik yang telah mengubah sikap masyarakat bermula pada abad ke-19 hingga abad ke-20. Beliau terkenal dengan sumbangannya dalam linguistik Indo-Eropah iaitu melalui syarahannya kepada para pelajarnya. Dijadikan cerita, Charles Bally dan Albert Sechehaye iaitu pelajar de Saussure telah mengumpul nota-nota syarahan De Saussure dan telah menerbitkannya untuk menjadi sebuah buku yang bertajuk "Course de Linguistique Generale". Penerbitan buku ini disamakan dengan revolusi "copernicus".

Terdapat 4 sumbangan de Saussure dalam bidang linguistik iaitu:

1. Membezakan antara Langue dan Parole.

Langue ialah sistem yang mengandungi satu set rumus yang mengawal penghasilan ayat yang gramatis manakala parole ialah penghuraian secara statistik tentang penggunaan bahasa. Kedua-dua objek ini bersifat koheren (berkaitan antara satu sama lain).

De Saussure membezakan antara langue dan parole kerana bagi beliau, apabila seseorang pengkaji bahasa cuba mengaitkan apa-apa bidang yang berkaitan dengan linguistik untuk mengkaji bahasa, keadaan akan menjadi sangat bercelaru. Maka objek yang koheren perlu disisihkan untuk memudahkan pengkajian linguistik dilakukan.

Dalam hal ini, apabila seseorang pengkaji hanya menumpukan pengkajian terhadap satu objek sahaja, misalnya Langue yang merupakan satu sistem yang mempunyai satu set rumus yang mengawal penghasilan ayat yang gramatis, maka para pengkaji bahasa akan tahu apa yang cuba direkonstruksikannya.

2. Pemikiran de Saussure tentang tanda Linguistik

Menurut De Saussure, tanda linguistik merupakan satu unit yang abstrak yang tidak seharusnya dikelirukan dengan urutan bunyi fizikal yang sebenarnya dihasilkan dan juga rujukannya. Tanda linguistik ialah cantuman antara suatu Signifier(penanda) dan Signified(yang ditandai). Beliau juga mengatakan bahawa hubungan antara signifier dan signified adalah bersifat arbitrari ( saling berkaitan).

Contohnya.

Gambar ini merupakan ==> Signified (yang ditandai) dan ianya boleh mempunyai signifier(penanda)==> "singa" dalam BM, "lion" dalam BI dan "al-asad" dalam B.Arab.

3. Hubungan

Prinsip de saussure mengenai hubungan merupakan huraian daripada prinsip tanda linguistik iaitu unit linguistik ialah unit bahasa sebagai sistem yang mestilah didefinisikan secara formal dan dengan istilah yang berbeza. Kerana bagi de Saussure, dalam bahasa hanya terdapat perbezaan tanpa istilah yang positif.

Contohnya :

Kita boleh menulis huruf "t" dengan pelbagai cara, tetapi harus mengekalkan nilai pembezanya dengan huruf-huruf yang lain seperti "l"f"b"i" dan "k".

Dalam hal ini terdapat dua jenis hubungan yang diketengahkan oleh beliau membezakan sesuatu istilah iaitu dengan melihat hubungan secara sintagmatik (hubungan secara mendatar) dan hubungan paradigmatik. Sesuatu unit bahasa boleh dibezakan melalui kedua-dua jenis hubungan ini.

4. Sinkronik dan Diakronik

De Saussure juga berjaya membezakan antara kajian bahasa secara sinkronik dan kajian bahasa secara diakronik. Kajian bahasa secara sinkronik ialah kajian bahasa yang dilakukan dalam satu jangka masa tertentu sahaja. Manakala, kajian bahasa secara diakronik pula ialah kajian yang cuba mencari evolusi pensejarahannya melalui pelbagai peringkat.

Alkisahnya, menurut de Saussure, pengkajian sesuatu bahasa itu perlu dilakukan secara sinkronik sebab sistem item dalam sesuatu bahasa adalah berkaitan da item itu pula ditentukan oleh tempatnya, dan bukan sejarahnya.

Kemudian, impak daripada idea se Saussure ini, muncul 2 aliran pemikiran iaitu satu di Eropah, dan satu lagi di Amerika.

1. Linguistik di Eropah

Di Eropah, aliran ini dikenali sebagai aliran Praha (Prague School) iaitu aliran yang menumpukan kajian linguistik dalam bidang fonologi. Hal ini dapat dilihat daripada kerja-kerja prague school ini yang membentuk teori fonologi pada sekitar 1940. Antara kejayaan aliran Praha ini adalah membentuk Teori Fonologi Struktur Fungsional berdasarkan kebertandaan fitur distingtif.

Aliran Praha terdiri daripada sarjana Czech iaitu Nikolay Trubetzkoy dan Jakobson. Mereka telah menerbitkan buku Travaux de Cercle Linguistik de Prague.

Minat mereka yang utama ialah terhadap Prinsip Fonologi oleh Trubetzkoy iaitu menerapkan prinsip de Saussure untuk mengembangkan konsep fonem. Mereka telah menggolongkan bunyi-bunyi bahasa dalam Parole dan fonem dalam bahasa.

Sistem fonologi digolongkan dengan pelbagai cara menurut ciri-ciri yang membezakan fonem komponennya.

Konsep fonem muncul dalam usaha mencari teori bagi transkripsi luas hasil daripada usaha aliran Praha, konsep ini menjadi salah satu daripada unsur penting dalam Teori Linguistik secara keseluruhan dan bagi huraian saintifik dan analisis bahasa.

Teori linguistik yang dikemukakan oleh Trubetzkoy dan rakan-rakannya daripada aliran Praha dengan analisis fonologi sebagai perkara pokok mengakibatkan beberapa perkembangan yang amat penting.

Analisis unti bahasa menurut set ciri distingtif yang diperluas kepada morfologi oleh Jakobson telah diterapkan selanjutnya kepada analisis tatabahasa secara am dan kini menjadi teras dalam banyak tatabahasa transformasi generatif.

2. Linguistik di Amerika

Di Amerika, idea saussure diteruskan lagi oleh Leonard loomfield dan ahli strukturalis pasca Bloomfield yang menerukan analisis dan dipandu oleh kajian yang dilakukan oleh Bloomfield antaranya ialah Eugene Nida, Bernard Bloch, George L Trager, Rulon Wells III, charles Hockett dan Zellig Harris.

Minat terhadap Linguistik Am terus berkembang. Buktinya, satu siri kongres ahli bahasa antarabangsa dibuka secara rasmi pada tahun 1928.

Dalam tahun 1920-an, Linguistik Huraian paling dikenali di Universiti.

Pada tahun 1924, Linguistik Society ditubuhkan dengan terbitan berkalanya "language" secara tahunan.

3 orang sarjana yang terkenal di Amerika ialah Frenz Baos, Edward Supir dan Leonard Bloomfield

Friday, February 06, 2009

Akhirnya

Setelah sekian lama aku tidak mencoretkan apa-apa di sini, hari ini dengan penggunaan kata ganti nama yang baru (haha) aku membuat kembali apa yang aku minati. Sejujurnya, semasa menaip ini, kepalaku masih sakit kerana diserang demam. Demam yang terhasil daripada kesibukan aku selama seminggu ini. Kesibukan yang mengundang kepenatan mental dan fizikal dan akhirnya membuahkan demam. Demam yang memaksa aku tidak menghadiri kelas dr. radiah hari ini. Haha. Tapi, aku tidaklah berasa terlalu ketinggalan sebab menurut rakan sebilik merangkap "coursemate" aku, tidak banyak yang dibincangkan semasa kuliah yang berlangsung selama 2 jam tadi.

Sepanjang seminggu ini, di samping rutin menghadiri kuliah dan kelas tutorial, aku disibukkan juga dengan aktiviti kokurikulum taekwondo. Memandangkan aku merupakan pemegang tali pinggang berwarna (colourbelt holder) dalam taekwondo, jadi aku secara otomatik diserapkan menjadi salah seorang peserta mewakili kelab taekwondo dalam program Malam Pendekar. Walaupun antara paksa dan rela. Terpaksa ~ sebab aku dimaklumkan jika mengikuti demonstrasi atau persembahan ini, kami secara otomatiknya dibolehkan untuk tidak membuat tugasan bertulis. Apabila menimbangkan antara "terpaksa berdemonstrasi" dan "tidak suka membuat tugasan bertulis", akhirnya aku akur bahawa kadar "ketidak sukaan" aku membuat tugasan bertulis lebih tinggi. Haha... Jadi, aku perlu berkorban sedikit tenaga dan masa untuk keputusan yang aku buat. Namun, semalam dr. fok merangkap penyelaras Taekwondo mengatakan bahawa, kami~ peserta-peserta demonstrasi taekwondo untuk malam pendekar itu sekali lagi diserapkan secara otomatik untuk menjadi peserta demonstrasi untuk program rakan muda yang dianjurkan oleh Kementerian belia dan Sukan. Pada kali ini, kami disogokkan pula dengan cuti sehari untuk menghadiri aktiviti kokurikulum. Adeh!! Aku sebenarnya masih tidak pasti sama ada demam aku akan kebah sebelum program Malam Pendekar pada malam ini kerana sebenarnya, pada saat dan ketika ini, aku baru menelan 2 biji panadol. Hakikat terpaksa berjalan kaki ke klinik kampus menyebabkan aku malas ke klinik pagi ini.

Malam ini juga, selain membuat beberapa gerakan taekwondo, aku juga telah dipilih untuk menjadi pemegang papan yang akan dipatahkan oleh para pemegang tali pinggang hitam. Adoi!! Aku cuma berharap aku tidak pengsan malam ini kerana ketakutan. Oh tidak!! Demonstrasi pada pagi esok anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu pula, aku masih menimbangkan sama ada mahu mengikutinya atau tidak, Jika demam aku kebah, InsyaAllah.

Kemudian, selain disibukkan oleh program Malam Pendekar, aku juga disibukkan oleh dr. Hasmidar yang telah menetapkan tarikh untuk mengadakan ujian pada minggu hadapan. Tentunya juga menuntut sedikit masa aku untuk membaca, memahami dan seterusnya mengingati beberapa topik. Dan sejujurnya, pada saat dan ketika ini aku sedang ditemani oleh beberapa helai nota untuk subjek ini. Adoi la...

Dalam seminggu ini juga aku telah menyelesaikan rakaman mengajar mikro "mikro teaching". Dan perlu pula menghadiri jemputan berlakon menjadi murid untuk rakaman pengajaran mikro rakan-rakan "se'course'" pula... Tapi Alhamdulillah... segala-galanya sudah selesai. Aku hanya perlu membuat laporan tentang rakaman dan membentangkan di samping mempertontonkan rakaman tersebut semasa kelas tutorial untuk dikomen oleh rakan-rakan setutorial. Hm...

Minggu yang sangat sibuk... dan aku perasan betapa aku seperti telah menjadikan blog ini sebagai diari aku pula hari ini. Haha...

Namun, dalam kesibukan itu juga, aku tidak ketinggalan mengikuti kisah dramatik PPSMI. Dalam seminggu ini, GMP (gerakan mansuhkan PPSMI) telah berdemonstrasi di SOGO yang dihadiri antaranya oleh Sasterawan Negara A. Samad Said, Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan, dan ramai lagi para cendikiawan bahasa. Nampaknya, isu ini semakin serius dan manifestasi daripada ini, kita sebagai rakyat biasa negara Malaysia ini boleh mengukur kebolehpercayaan konsep demokrasi yang diimani oleh "sesetengah daripada kita". Jika pandangan para cendikiawan juga diabaikan walaupun sudah berdemonstrasi, maka kita, para rakyat biasa perlu mula berfikir adakah suara kita akan didengar dan diambil kisah?. Apakah nasib kita pernah difikirkan?. Entah la.

Selain itu, para mujahid yang sedar akan kepentingan hidup berlandaskan hukum hakam Allah masih terus berjihad dengan meneruskan kempen boikot barangan Israel. Masih tuntas menyebarkan dakwah kepada saudara seislam (termasuklah aku) yang sedang menderita batinnya kerana menghidap penyakit wahan. Penyakit mencintai dunia dan takut mati. Alhamdulillah, apabila membaca artikel-artikel berbentuk dakwah itu, aku sedikit sebanyak akan tersedar dari mimpi dan pesona dunia ini. Alhamdulillah.. Namun, tuntutan menguruskan hal-hal dunia sepanjang seminggu, aku akui beberapa malam sudah, aku tertinggal mengerjakan tahajud dan 2 atau 3 waktu solat dalam sehari aku akan solat pada lewat waktu. Adoi!! Ampunkan aku yang lemah ini ya Allah..