Kita masih bernafas saat dan ketika ini. Alhamdulillah... Berkat nikmat udara yang diberikan secara percuma oleh Allah, maka kita saat dan ketika ini masih boleh mengecap nikmat hidup yang juga diberikan secara percuma oleh Allah kepada kita.
Dan, oleh kerana kita masih hidup, bermakna, pintu taubat masih terbuka luas untuk kita yang terasa ingin bertaubat atas segala dosa yang kita lakukan. Kalau.... terasa ingin bertaubat. Kalau tidak pun, tidak apa.... Allah itu Maha Perkasa, maka Allah tidak memerlukan Taubat kita untuk terus Berkuasa. Tapi kita harus ingat, jika bukan kerana udara yang dibekalkan oleh Allah tanpa bayaran itu, kita tidak ada di muka bumi ini. Jadi, atas alasan itu, sebagai insan, tidakkah kita perlu bersyukur? atau sekurang-kurangnya tidakkah kita rasa perlu memohon ampun kepadaNya kerana terlupa bersyukur?
Jika kita sendiri, kalau pemberian kita kepada seseorang tidak dihargai, kita juga berasa terkilan bukan? Tapi, berapa kerap sangat la kita memberi sesuatu kepada orang lain? dan biasanya, apabila sekali pemberian kita tidak dihargai, kita akan berkata "sorry aku bagi kau hadiah lain kali!". Dalam hati tentunya... hehe..
Sekarang, cuba kira berapa banyak pemberian Allah kepada kita? pemberian-pemberian itu pula bukanlah calang-calang pemberian! nikmat hidup, nikmat udara, nikmat sihat (bg yg sihat) nikmat sakit (bersyukurlah kerana Allah sayangkan kamu yang sedang sakit itu), nikmat keindahan alam ini, nikmat makanan, nikmat bahagia dan macam-macam lagi. Kalau dikira, seribu tahun takkan mungkin. Hehe..
Kemudian, sekarang cuba kira (jangan lupa memasukkan diri kita dalam senarai) berapa ramaikah antara kita yang tidak bersyukur dengan pemberian Allah itu?. Bayangkan kalau Allah itu berfikir seperti kita ketika pemberian kita tidak dihargai dan berkata "ah! sorry Aku bagi kau hadiah lain kali!". Bagaimana rasanya? Tetapi Allah itu tidak bersifat lemah seperti manusia. Allah itu Sempurna sifatnya. Atas sifat Maha PemurahNya, maka DIA terus memberi dan memberi nikmat kepada kita. Atas sifat maha PengampunNya, maka DIA membuka pintu-pintu taubat seluas-luasnya. Atas sifat Maha PenyayangNya, maka DIA sering memberi ujian kepada kita. Ujian yang menandakan bahawa DIA tidak pernah berhenti daripada mengingati dan menyayangi kita, dan mahu dengan ujian itu, kita kembali mengingati dan menyayangiNya. (sebak rasanya ketika menaip ayat ini...)
kemudian, kita diuji dengan macam-macam ujian, dan kita tahu, ujian itu perlu untuk meningkatkan darjat iman. Tapi, kadang2, kita sering terlupa betapa, apabila kita diuji, apabila kita sedih, Allah merupakan Pendegar yang Paling Baik, Allah merupakan Pendengar yang Paling Setia, Allah merupakan Pemberi Jalan Penyelesaian yang Paling Bijak. Kerana terlupa, maka kemudian, kita akan cuba mencari kawan atau kekasih untuk menenangkan hati kita. Mengadu betapa malangnya nasib kita, meminta penyelesaian atas masalah kita.
Sedangkan, Allah telah menyediakan ujian itu untuk kita agar kita ingat kepadaNYA, meminta pandanganNYA untuk menyelesaikan masalah kita, menangis di hadapanNYA untuk mengadu nasib kita. Bukan kerana apa, tetapi kerana sayang. DIA masih ingin kita mengingatiNYA kerana ALLAH tidak pernah terlupa untuk mengingati kita.
Jadi, apabila kita mengingati kawan atau kekasih ketika kita diuji, jadi apakah makna ujian itu?
Tetapi, oleh sebab kita ni insan, maka kita juga ingin menjadikan insan lain sebagai pembantu pertama kita untuk menyelesaikan masalah. Memang, tidak salah. Namun, marilah kita sama-sama meletakkanlah Allah sebagai pembantu pertama, menjadikan Allah sebagai Pendengar masalah pertama kita. Tidak rugi menangis di hadapan Allah. kan? Oleh sebab ujian Allah telah berjaya membuatkan kita mengingatiNYA, Kemudian, pasti Allah akan mempermudahkan kita untuk menyelesaikan masalah. Mungkin DIA akan menghantar kawan kita sebagai penyelesai masalah kita.
Tetapi, apabila kita menjadikan kawan atau sesiapa saja untuk menjadi penolong pertama kita, maka kita akan dapati masalah kita bukannya selesai, dan tak akan selesai, tetapi akan menjadi semakin sukar. Kadang-kadang, kita akan mendapati kawan kita itu seperti tidak mengerti masalah kita. Semasa kita sedang menghadapi masalah, dia jarang berada di sisi kita untuk menyelesaikan masalah kita. Atau, dia akan buat-buat tidak faham apa masalah kita. Malah akan menyalahkan kita atas masalah yang berlaku. Maka, masalah kita akan menjadi lebih besar, kerana, bukan sahaja kita sedang sakit hati dan jiwa dengan masalah yang sedia ada yang kita hadapi, tetapi timbul pula masalah lain iaitu rasa tidak puas hati terhadap ketidak prihatinan kawan kita itu. Timbul lagi masalah lain iaitu, kita akan berasa betapa kejamnya kawan kita itu. Jiwa yang sedih bertambah rawan.
Padahal, semuanya disebabkan oleh kesilapan kita sendiri yang tidak memahami makna ujian yang diberikan Allah kepada kita. Percayalah, apabila kita meletakkan Allah sebagai Yang Teratas atas segala tindak tanduk kita, sebagai penasihat kita Yang Teratas, maka setiap langkah selepas itu pasti akan menjadi mudah. Kerana kita bergerak di atas redha Allah. Tetapi, jika sebaliknya, bersedialah berhadapan dengan kesusahan demi kesusahan yang tidak berpenghujung. Allahualam...
"Sesungguhnya sesudah kesusahan akan datang kemudahan" - jika dan hanya jika kesusahan itu dapat membuatkan kita mengingati Allah.
ada juga kesusahan diikuti lagi dengan kesusahan, diikuti lagi dengan kesusahan, lagi dan lagi. Sebabnya, kita masih tidak faham tujuan ujian itu diberikan kepada kita. Allahualam...
"Ya Allah... pimpinlah jalanku menuju redhaMu selamanya..."
Istighasah, boleh ke tak?
2 weeks ago