Friday, February 06, 2009

Akhirnya

Setelah sekian lama aku tidak mencoretkan apa-apa di sini, hari ini dengan penggunaan kata ganti nama yang baru (haha) aku membuat kembali apa yang aku minati. Sejujurnya, semasa menaip ini, kepalaku masih sakit kerana diserang demam. Demam yang terhasil daripada kesibukan aku selama seminggu ini. Kesibukan yang mengundang kepenatan mental dan fizikal dan akhirnya membuahkan demam. Demam yang memaksa aku tidak menghadiri kelas dr. radiah hari ini. Haha. Tapi, aku tidaklah berasa terlalu ketinggalan sebab menurut rakan sebilik merangkap "coursemate" aku, tidak banyak yang dibincangkan semasa kuliah yang berlangsung selama 2 jam tadi.

Sepanjang seminggu ini, di samping rutin menghadiri kuliah dan kelas tutorial, aku disibukkan juga dengan aktiviti kokurikulum taekwondo. Memandangkan aku merupakan pemegang tali pinggang berwarna (colourbelt holder) dalam taekwondo, jadi aku secara otomatik diserapkan menjadi salah seorang peserta mewakili kelab taekwondo dalam program Malam Pendekar. Walaupun antara paksa dan rela. Terpaksa ~ sebab aku dimaklumkan jika mengikuti demonstrasi atau persembahan ini, kami secara otomatiknya dibolehkan untuk tidak membuat tugasan bertulis. Apabila menimbangkan antara "terpaksa berdemonstrasi" dan "tidak suka membuat tugasan bertulis", akhirnya aku akur bahawa kadar "ketidak sukaan" aku membuat tugasan bertulis lebih tinggi. Haha... Jadi, aku perlu berkorban sedikit tenaga dan masa untuk keputusan yang aku buat. Namun, semalam dr. fok merangkap penyelaras Taekwondo mengatakan bahawa, kami~ peserta-peserta demonstrasi taekwondo untuk malam pendekar itu sekali lagi diserapkan secara otomatik untuk menjadi peserta demonstrasi untuk program rakan muda yang dianjurkan oleh Kementerian belia dan Sukan. Pada kali ini, kami disogokkan pula dengan cuti sehari untuk menghadiri aktiviti kokurikulum. Adeh!! Aku sebenarnya masih tidak pasti sama ada demam aku akan kebah sebelum program Malam Pendekar pada malam ini kerana sebenarnya, pada saat dan ketika ini, aku baru menelan 2 biji panadol. Hakikat terpaksa berjalan kaki ke klinik kampus menyebabkan aku malas ke klinik pagi ini.

Malam ini juga, selain membuat beberapa gerakan taekwondo, aku juga telah dipilih untuk menjadi pemegang papan yang akan dipatahkan oleh para pemegang tali pinggang hitam. Adoi!! Aku cuma berharap aku tidak pengsan malam ini kerana ketakutan. Oh tidak!! Demonstrasi pada pagi esok anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu pula, aku masih menimbangkan sama ada mahu mengikutinya atau tidak, Jika demam aku kebah, InsyaAllah.

Kemudian, selain disibukkan oleh program Malam Pendekar, aku juga disibukkan oleh dr. Hasmidar yang telah menetapkan tarikh untuk mengadakan ujian pada minggu hadapan. Tentunya juga menuntut sedikit masa aku untuk membaca, memahami dan seterusnya mengingati beberapa topik. Dan sejujurnya, pada saat dan ketika ini aku sedang ditemani oleh beberapa helai nota untuk subjek ini. Adoi la...

Dalam seminggu ini juga aku telah menyelesaikan rakaman mengajar mikro "mikro teaching". Dan perlu pula menghadiri jemputan berlakon menjadi murid untuk rakaman pengajaran mikro rakan-rakan "se'course'" pula... Tapi Alhamdulillah... segala-galanya sudah selesai. Aku hanya perlu membuat laporan tentang rakaman dan membentangkan di samping mempertontonkan rakaman tersebut semasa kelas tutorial untuk dikomen oleh rakan-rakan setutorial. Hm...

Minggu yang sangat sibuk... dan aku perasan betapa aku seperti telah menjadikan blog ini sebagai diari aku pula hari ini. Haha...

Namun, dalam kesibukan itu juga, aku tidak ketinggalan mengikuti kisah dramatik PPSMI. Dalam seminggu ini, GMP (gerakan mansuhkan PPSMI) telah berdemonstrasi di SOGO yang dihadiri antaranya oleh Sasterawan Negara A. Samad Said, Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan, dan ramai lagi para cendikiawan bahasa. Nampaknya, isu ini semakin serius dan manifestasi daripada ini, kita sebagai rakyat biasa negara Malaysia ini boleh mengukur kebolehpercayaan konsep demokrasi yang diimani oleh "sesetengah daripada kita". Jika pandangan para cendikiawan juga diabaikan walaupun sudah berdemonstrasi, maka kita, para rakyat biasa perlu mula berfikir adakah suara kita akan didengar dan diambil kisah?. Apakah nasib kita pernah difikirkan?. Entah la.

Selain itu, para mujahid yang sedar akan kepentingan hidup berlandaskan hukum hakam Allah masih terus berjihad dengan meneruskan kempen boikot barangan Israel. Masih tuntas menyebarkan dakwah kepada saudara seislam (termasuklah aku) yang sedang menderita batinnya kerana menghidap penyakit wahan. Penyakit mencintai dunia dan takut mati. Alhamdulillah, apabila membaca artikel-artikel berbentuk dakwah itu, aku sedikit sebanyak akan tersedar dari mimpi dan pesona dunia ini. Alhamdulillah.. Namun, tuntutan menguruskan hal-hal dunia sepanjang seminggu, aku akui beberapa malam sudah, aku tertinggal mengerjakan tahajud dan 2 atau 3 waktu solat dalam sehari aku akan solat pada lewat waktu. Adoi!! Ampunkan aku yang lemah ini ya Allah..

No comments: