Wednesday, January 21, 2009

Hatiku milikMU - Last Part

Err, mungkin saya kena betulkan kata-kata tadi, perempuan bila diam, kita masih tak tahu, bila menangis, mungkin tanda tak setuju...'' sempat ayah Asiah Yusro berlawak. Tetamu di sekitarnya ketawa kecil. Pandai dia menghidupkan suasana. Banna memandang Umar penuh tanda tanya.
''Umar, dia pandang nta tadi.Mungkin hatinya untuk nta. Kalau antum berdua sudah suka sama suka, ana rela gantikan nta di tempat ana. Ana takkan menyesal, malah ana akan bangga dapat menyatukan dua hati yang bercinta kerana Allah,'' Hassan Al-Banna cekap mentafsir suasana. Umar terdiam. (Ah, baiknya kau Banna!) Sementara Asiah Yusro cuba melawan perasaan sedaya upaya. Air matanya tumpah juga, tak henti-henti. Dia perlukan ketenangan. Penawarnya ada di sisi. Al-Quran tafsif dibukanya dengan memejam mata. Mata yang makin sarat dengan tangisan. Air mata itu terus menitis laju membasahi satu ayat di dalam al-Quran. Asiah Yusro mengesat air matanya yang menodai lembaran suci al-Quran. Baris ayat yang basah itu memikatnya. Dia membaca ayat itu berulang kali sambil diperhati oleh umi yang berada di sisi, menemani.
(Masyallah. Indahnya ayat 216, Surah Al-Baqoroh ini. Kurasakan seolah-olah Allah sedang berinteraksi denganku. Mungkin, inilah keajaiban al-Quran. Terima- kasih Tuhanku, Kau hadir saat aku memerlukan.Ku pasrah pada ketentuan-Mu. Dengan cinta-Mu, Kau akan beri yang terbaik untukku. Aku yakin dengan-Mu Tuhan. Hatiku milik-Mu)
Resah di hati Asiah Yusro terubat sudah. Allahlah teman yang menghiburkannya. Umi keluar dengan wajah ceria. Hampir sejam tetamu menanti. Masing-masing masih tercengang, tertanya-tanya. Namun, tiada seorang pun yang bangun mengundur diri. Semuanya bagaikan sabar menanti bagaimana episod itu akan berakhir. Sebentar kemudian, Asiah Yusro keluar dengan wajah yang tenang. Tangannya mendakap al-Quran. Tiada air mata lagi bersisa di kelopak mata.
''Yusro, kalau tak setuju, katakan tidak. Abi dan ummi takkan sesekali memaksa,'' Ayahnya cuba mendalami perasaan puteri tercinta. Asiah Yusro tidak memberi sebarang jawapan. Dia sedang mengumpul kekuatan untuk berbicara. Tiba-tiba Banna memecahkan kesunyian.
''Maafkan saya. Mungkin kita boleh lupakan rombongan pinangan yang tadi. Anggaplah saya datang sebagai rombongan kedua untuk menyunting si mawar berduri yang mekar di Taman Islam rumah ini buat Umar Al-Mujahid,''. Berani Banna menyusun bicara. Umar sendiri terkejut dengan tindakannya.
''Bagaimana di pihak perempuan?'' ayah Asiah Yusro memandang anaknya sarat harapan. Moga-moga, lamaran kedua ada jawapannya.''A'uzubillahi mina syaitonirrojim. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui,'' Asiah Yusro membacakan kembali tafsiran ayat 216, Suroh Al-Baqoroh. Allah telah memberikannya jawapan.
''Abi, Yusro terima lamaran Hassan Al-Banna,'' jawabnya. Namun, jawapan itu masih sarat tandatanya.
'' Pinangan pertama untuk Hassan Al-Banna. Pinangan kedua, dari Hassan Al-Banna untuk Umar Al-Mujahid. Yang mana satu maksud diberi?'' ayahnya minta kepastian. Asiah Yusro terdiam lagi. Beratnya menjawab soalan itu. Oh, Tuhan! Dia menatap sekali lagi ayat 216. Jiwanya nekad membuat pilihan.
''Hati saya rasa, Allah ingin jodohkan saya dengan Hassan Al-Banna...'' Asiah Yusro tertunduk malu selepas membuat pengakuan itu. Berakhirlah sebuah episod tanda tanya...
''Alhamdulillah..'' suasana ceria kembali. Majlis pertunangan kembali berjalan lancar. Kata-kata Asiah Yusro sangat berbekas di hati Umar. Biarlah ia meninggalkan parut kenangan buat selamanya.
(Pergilah...pergilah cinta Asiah Yusro! Aku tak perlukan cintamu. Ya Allah, hanya Kau yang kudambakan bukan sesiapa di kalangan makhluk-Mu. Hatiku hanya milik-Mu)
Umar memujuk hatinya agar tenang menerima suratan. Luka lamanya membengkak kembali. Dia cuba menyembunyikan segala kepedihan dan kekecewaan di hati. Cinta Fika sesekali melambai datang, ditepisnya sejauh mungkin. Cinta Asiah Yusro yang menjadi idaman, hadir ketika dirinya teraba-raba mencari jalan pulang.
(Cukuplah selama ini aku telah banyak menzalimi diri sendiri. Asiah Yusro tak patut dimiliki orang sepertiku. Potensi da'wahnya akan terhalang! Demi Islam, kuredho kau bukan milikku. Ku sedar, sekalipun kita tidak berada di atas penyatuan cinta namun kita tetap berada di atas penyatuan cita-cita. Ya, kita takkan selamanya rebah dalam kemelut rasa. Kita akan sama-sama bangkit kembali memikul beban tarbiyyah dan da'wah yang sarat perjuangan ini).
'' Umar, sohibah tu lah yang dipaksa kahwin oleh keluarganya. Kasihan dia. Usianya dah menjangkau lebih 30 tahun. Ibubapa mana yang tidak risau?'' Dr. Azmin mematikan lamunan Umar. Tangannya menunjuk kepada seorang sahibah. Mata Umar melirik kepada arah yang ditunjukkan. Seorang sahibah berwajah gelap dengan pipinya dipenuhi parut-parut bekas jerawat, sopan bersimpuh di satu penjuru. Tudung labuh dan jubahnya tetap memikat kalbu daripada kacamata iman seseorang.
''Dia wanita yang ditarbiyyah, wanita mulia! Layakkah dia untuk ana?'' Umar berbisik kepada Dr,Azmin.
''Umar, selamatkanlah dia....'' Balas Dr. Azmin menyebabkan Umar tersenyum, senyuman yang tersirat makna.
''Err, saya pun boleh jadi hero penyelamatnya,'' terjulur kepala Fathil yang tiba-tiba muncul di celah Dr. Azmin dan Banna. Mereka tersenyum ceria. (Fathil tak pandang kecantikan lagi ke? Mungkin imannya dah boleh berbicara) Umar Al-Mujahid takjub dengan kuasa iman. Iman mengubah hati insan, menjadikan pemikiran seseorang tunduk pada kebenaran. Jalan tarbiyyah dan da'wah ini lah yang banyak memberi bekalan iman.

(Cinta tarbiyyah da'wah,hatiku milikmu!)

-TAMAT=)-

No comments: