Monday, February 16, 2009

Bisikan hati

Sejenak,
Ketika waras menjengah minda,
Serta-merta noda dan dosa terlakar,
Mempamerkan kehodohan satu demi satu,
Menutup rapat pintu hidayah,
Mengopek rakus lapisan-lapisan iman,
Jatuh! keping demi keping,
Meninggalkan bekas-bekas lompang.
Cacat, hodoh dan hina.

Di satu sudut,
Kelihatan raja Iblis mengekek keriangan,
dan sang nafsu pula tersenyum mempamerkan kebodohan,
apabila melihat karenah
Sang hati yang masih khayal dengan propaganda cinta semu dan
Sang akal yang telah bodoh dengan manifesto syurga dunia
sementara Sang Iman terus dihambat oleh konco-konco Iblis
Dibelasah sehingga layu

Aku terduduk lesu,
Sang memori terus mencari punca kekalutan,
yang menyebabkan kajatuhan saham Iman
nazak sehingga hampir menemui kematian
Layar memori segera terhenti pada sekeping hati,
sekeping hati yang sedang khayal merentas lautan cinta semu,
sekeping hati yang telah dibutakan oleh pesona cinta hamba
juga pada sang akal yang kelihatan bodoh mengikut kata syaitan durjana
Terasa pipiku basah
Mengalirkan titik-titik airmata yang bersedih dengan kekhayalan hati
dan menyesali kebodohan akal

Serta-merta lautan cinta semu membusuk,
mengeluarkan nanah dan darah yang jijik.
Aku segera berenang ke tepian,
Terasa nafasku mengah kerana berenang terlalu jauh
Namun,
Sebelum sempat aku lemas merentas lautan,
Rahmat Allah datang menyelamatkanku
Mempamerkan cintaNya yang tidak pernah pudar
membawa aku ke tepian...
Membantu aku bangun dan lari dari kejahilan...

Di tengah lautan nanah itu,
aku melihat masih ramai yang sedang enak bermain di dalamnya
diulit oleh konco-konco Iblis dan pujuk rayu nafsu
aku kemudian bersyukur kerana Rahmat Allah masih luas untukku
Hidayah Allah masih ada untukku
Hadir mengutip iman keping demi keping
menutup lompang-lompang iman...
Merawat hati dan menyekolahkan akal

Ya Allah...
teguhkanlah imanku...
janganlah Kau biarkan ianya lesu dek hambatan syaitan yang tidak pernah jemu
dan pujuk rayu nafsu yang tidak pernah lesu ya Allah...
Amin..


No comments: